fbpx

Ingin Berhenti Merokok? Ini Panduan Lengkap Untuk Berhenti Secara Kekal Seawal 30 Hari

berhenti merokok

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Peribahasa ini sangat sesuai bagi anda yang mempunyai keinginan untuk berhenti merokok.

 

Walaubagaimanapun, ianya amat sukar dilakukan. Malah ada yang telah mencuba pelbagai cara untuk berbuat demikian.

Sebenarnya, dengan strategi yang betul, misi untuk berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mustahil.

Artikel ini akan berkongsikan panduan lengkap untuk membantu anda henti merokok secara kekal seawal 30 hari.

Teruskan membaca sehingga tamat dan segala persoalan anda akan terjawab.

Sebab Utama Kenapa Perlu Berhenti Merokok

kenapa berhenti merokok

 

Memang tidak dinafikan apabila seseorang itu sudah mula merokok, individu tersebut berkemungkinan besar akan menjadi seorang perokok tegar. 

Statistik menunjukkan hampir 19,000 warga Malaysia maut akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat rokok setiap tahun. Kesan merokok ini memang sangat berbahaya kepada semua. 

Untuk pengetahuan anda, satu batang rokok mempunyai lebih 7 ribu bahan-bahan kimia yang berbahaya kepada tubuh badan.

Di antaranya ialah:

  • Nikotin
  • Benzene
  • Karbon monoksida
  • Tar
  • Arsenik

Kesemua bahan kimia di dalam rokok ini diperakui memberikan kesan buruk kepada kesihatan perokok dan juga orang di sekelilingnya.

Jika anda terus memilih untuk merokok, anda berpotensi besar terdedah kepada penyakit kronik seperti:

  • Kanser paru-paru
  • Strok
  • Diabetes
  • Asma 
  • Mati pucuk
  • Penyakit buah pinggang

Tahukah anda, perokok memerlukan rawatan yang lebih intensif di hospital jika mereka dijangkiti COVID-19 berbanding dengan bukan perokok?

Berdasarkan satu kajian terbaharu terbitan Imperial College London telah membuktikan demikian dan perokok cenderung mengalami gejala virus yang sangat teruk.

Bukan itu sahaja, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah menegaskan bahawa perokok lebih berisiko mengalami gejala yang teruk jika mereka dijangkiti COVID-19. 

Ini kerana virus memberikan kesan teruk kepada paru-paru dan sistem kardiovaskular. 

Sukar Berhenti Merokok? Ini Sebabnya

sukar berhenti merokok

 

Kenapa masih merokok? Cuba anda fikirkan sebab-sebabnya. 

Adakah untuk menangani stres? Untuk mendapat kepuasan? Untuk bersosial dengan rakan-rakan?

Anda mungkin sudah cuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tetapi seringkali gagal. Mari ketahui sebab-sebabnya:

Tidak dapat melakukan aktiviti tanpa rokok
Ini adakah kesan psikologi yang dihadapi oleh perokok.

Contohnya, anda mungkin selalu menghisap rokok pada setiap pagi untuk memulakan hari anda.

Jika tiada rokok, hari anda seperti tidak lengkap.

Takut tidak dapat mengharungi sindrom sarak
Sindrom ini berlaku apabila otak anda berhenti mendapat nikotin yang biasa diterima.

Sindrom-sindrom lain termasuk batuk, pening, loya, tidak dapat tidur, sakit kepala.

Risau berat badan bertambah

Apabila anda berhenti merokok, kadar metabolisma anda mungkin menjadi perlahan.

Tetapi anda tidak perlu risau kerana ia boleh diatasi jika anda kerap bersenam. 

Keinginan merokok terlalu kuat
Seperti yang sedia maklum, rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan seseorang itu ketagih.

Ketagihan nikotin ini sangat susah diatasi kerana ia menjejaskan saraf otak dan kesannya boleh menjadi sekuat heroin.

 

10 Manfaat Berhenti Merokok

 

Mencegah Risiko Kanser

Risiko untuk menghidap sebarang bentuk kanser akan berkurang dengan segera setelah anda berhenti merokok.

 

Mengurangkan Risiko Serangan Jantung


Kadar tekanan darah dan denyutan jantung akan turun dengan segera dalam masa 24 jam.

Menurunkan Kadar Kolesterol

Anda akan mempunyai kadar lemak yang lebih rendah di dalam peredaran darah.

Ini akan membantu mencegah penyumbatan pada arteri anda.

Berat Badan Menurun


Ramai beranggapan berat badan akan meningkat setelah berhenti merokok tetapi sebenarnya ia dapat mengurangkan lemak pada bahagian perut.

Selain itu, ia dapat mengurangkan risiko anda menghidap diabetes jenis 2.

Tulang Lebih Kuat

Risiko anda untuk patah tulang dapat dikurangkan dalam jangka masa yang pendek selepas anda berhenti.

Pertumbuhan Semula Silia

Paru-paru anda dilapisi silia yang membantu anda melawan selesema dan jangkitan-jangkitan lain. 

Apabila anda berhenti merokok, silia akan mula untuk tumbuh semula dan ia akan meningkatkan sistem imun anda.

Darah Semakin Cair

Darah semakin cair bermakna risiko pembekuan darah berbahaya dan tekanan pada jantung anda akan berkurang.

Kekuatan Otot Meningkat


Apabila peredaran oksigen menjadi lebih baik, otot anda akan menjadi lebih kuat dan sihat.

Tahap Estrogen Dapat Dipulihkan

 

Khusus untuk wanita, tahap hormonnya akan kembali normal dan kemungkinan mengandung bayi yang sihat akan bertambah baik.

Dapat Melakukan Hubungan Seks

Sekiranya anda seorang lelaki, kemungkinan masalah disfungsi ereksi akan berkurangan sekiranya berhenti rokok.

Apa Kesan Berhenti Merokok Kepada Tubuh Badan?

petua berhenti merokok

Selepas anda berhenti merokok, anda akan dapat merasakan perbezaan yang positif pada tubuh badan anda.

Berikut merupakan garis masa yang anda mungkin akan alami selepas anda tidak lagi merokok:

Selepas 20 Minit

Kesihatan anda akan mula bertambah baik sebaik dalam waktu kurang daripada setengah jam selepas anda berhenti merokok.

Kadar denyutan jantung anda akan menurun dan kembali normal.

Selain itu, tekanan darah anda juga mula menurun dan peredaran darah juga akan bertambah baik.

Selepas 12 Jam

Tarik nafas anda dalam-dalam, anda akan dapat merasakan paru-paru anda menjadi lebih sihat.

Hal ini kerana, tubuh badan anda akan membersihkan diri daripada karbon monoksida yang terdapat dalam rokok sekaligus ia akan meningkatkan pengambilan oksigen di paru-paru.

Selepas 1 Hari

Risiko serangan jantung, tekanan darah, kadar kolesterol akan berkurang.

Tahap oksigen anda akan meningkat lebih tinggi dan anda akan dapat melakukan senaman fizikal dengan lebih mudah menghadapi masalah seperti tanpa sesak nafas.

Selepas 2 Hari

Deria bau dan rasa anda akan mula kembali ke tahap normal dan akan terus bertambah baik. 

Segala jenis makanan dan minuman akan terasa lebih sedap.

Selepas 3 Hari 

Di sini bermulanya cabaran anda untuk berhenti merokok kerana nikotin tidak lagi berada di dalam aliran darah anda.

Anda mungkin berasa tidak selesa dan juga mengalami perubahan mood. 

Namun, anda perlu sedar pengalaman ini adalah sebahagian daripada proses tubuh anda sedang sembuh.

Selepas 1 Bulan

Fungsi paru-paru anda akan bertambah baik dan anda juga akan kurang batuk.

Selain itu, aktiviti fizikal akan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Anda digalakkan untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berjalan kaki atau berjoging.

Selepas 6 Bulan
Selepas enam bulan, anda meninggalkan rokok, keinginan merokok anda akan berkurang.

Anda akan mula menikmati dan menghargai faedah berhenti merokok.

Selepas 9 Bulan
Paru-paru anda akan sembuh sepenuhnya. Silia akan tumbuh semula, jadi tindak balas imun anda jauh lebih baik.

Gejala seperti selesema atau jangkitan paru-paru akan dapat dikurangkan.

Selepas 1 Tahun
Risiko penyakit jantung koronari anda sudah berkurang dan akan terus menurun.

Selepas 5 Tahun

Arteri dan saluran darah anda akan mulai melebar, pembekuan darah yang berbahaya tidak akan terjadi dan dapat dielakkan. 

Ini bermakna kemungkinan anda tidak berisiko mengalami strok.

Selepas 10 Tahun

Risiko anda mendapat kanser mulut, tekak, atau pankreas akan jauh lebih rendah.

Selepas 15 Tahun

Risiko anda menghidap penyakit jantung koronari atau kanser adalah sama dengan orang yang tidak merokok.

Selepas 20 Tahun

Apabila anda berjaya berhenti merokok selama 20 tahun, risiko penyakit dan kematian yang berkaitan dengan merokok adalah sama dengan seseorang yang tidak pernah merokok.

Paru-paru dan saluran darah anda akan sembuh ibarat anda tidak pernah merokok.

Berhenti merokok akan meningkatkan peluang anda untuk hidup lebih lama.

Kaedah Untuk Berhenti Merokok Yang Berkesan

kesan rokok

 

Ketahui Sebab Anda Berhenti Merokok

Kenapa anda nak berhenti? 

Untuk berhenti, anda memerlukan alasan peribadi yang kuat untuk berhenti. 

Ini mungkin untuk melindungi keluarga anda dari asap rokok atau mengurangkan risiko anda untuk mendapat kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain.

Pilih Tarikh Berhenti Merokok

Lihat kalender dan pilih satu tarikh yang anda rasa bersesuaian.

Anda perlu jujur pada diri sendiri dalam hal ini.  

Pertimbangkan Terapi Penggantian Nikotin

Apabila anda berhenti merokok, ketiadaan nikotin boleh menyebabkan anda sakit kepala, mempengaruhi mood anda atau mengurangkan tenaga anda.

Terapi penggantian nikotin dapat mengekang desakan ini. 

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan gum nikotin meningkatkan peluang anda untuk berjaya untuk berhenti merokok.

Dapatkan Sokongan Keluarga Dan Rakan-rakan

Beritahu rakan, keluarga, dan orang yang anda boleh percayai yang anda ingin berhenti.

Mereka dapat mendorong anda untuk kekal berdisiplin dan mencapai matlamat anda untuk berhenti dan hilang ketagihan terhadap nikotin.

Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran

Ini merupakan satu petua berhenti merokok yang anda boleh amalkan. 

Anda boleh cuba makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian, dan protein tanpa lemak. Ia baik untuk seluruh badan anda.

 

Kesimpulannya, misi berhenti merokok bukanlah satu perkara yang senang untuk dilakukan. 

Namun, anda boleh mencapai matlamat ini jika anda terus berusaha. Banyak manfaat dan kebaikan yang anda akan nikmati selepas berhenti merokok.

Semoga anda berjaya untuk mencapai impian berhenti merokok!

Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
trackback
Perokok Pasif: Malang Tak Berbau Buat Orang Yang Tak Merokok
2 months ago

[…] Baca: Panduan Berhenti Merokok 30 Hari […]