fbpx

Ketahui Peraturan dan Akta Larangan Merokok di Malaysia

larangan merokok

 

Larangan merokok telah diperkenalkan di beberapa tempat awam tertentu di seluruh negara untuk membendung pencemaran asap rokok kepada orang ramai.

Apabila seseorang merokok di tempat awam, orang di sekeliling akan terdedah kepada asap rokok yang mengandungi 300 jenis bahan kimia berbahaya.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menguatkuasakan Akta Larangan Merokok untuk menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam. 

 

Apa Yang Anda Perlu Ketahui Mengenai Akta Larangan Merokok?

 

Seperti yang telah dinyatakan, orang di sekeliling perokok berisiko tinggi menjadi mangsa kesan asap rokok.

Sebagai contoh, ada seorang ibu mengandung duduk berhampiran seseorang yang sedang merokok di sebuah restoran.

Ibu mengandung yang terdedah kepada asap rokok berisiko tinggi mengalami keguguran atau melahirkan bayi pra matang.

Bukan itu sahaja, beberapa kajian juga telah membuktikan ibu-ibu ini berisiko melahirkan bayi yang mempunyai sindrom-sindrom tertentu.

Oleh itu, jika anda merupakan seorang perokok, anda perlu memastikan tiada orang di sekeliling sekiranya ingin merokok di tempat awam.

Berikut merupakan risiko lain yang mungkin dihadapi mereka yang terdedah dengan asap rokok:

  • Penyakit kardiovaskular (jantung, urat dan arteri) seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung atau strok.
  • Masalah paru-paru 
  • Peningkatan risiko kanser paru-paru dan barah di otak, pundi kencing, perut, payudara dan banyak lagi.
  • Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok cenderung mengalami:

Batuk yang kerap, bersin, sesak nafas atau masalah pernafasan lain.

  • Serangan asma yang kerap dan lebih teruk.
  • Jangkitan pernafasan, seperti bronkitis atau radang paru-paru.

Disebabkan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewujudkan peraturan larangan merokok mengikut Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004:

“Suatu Peraturan yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983 bertujuan melindungi orang ramai terhadap bahayanya di segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan dan mengenai perkara-perkara sampingan atau berkaitan dengannya.” – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya.

 

20 Kawasan Dilarang Merokok

 

Berikut merupakan senarai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Yang Dikuatkuasakan Oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok jika disabitkan kesalahan boleh didenda:

  • Didenda tidak melebihi RM10,000
  • atau, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun 
  • atau, kedua-duanya sekali.
  1. Di dalam mana-mana pusat hiburan atau teater pada bila-bila masa apabila tempat itu dibuka kepada orang ramai kecuali mana-mana pub, disko, kelab malam atau kasino.
  2. Di dalam mana-mana hospital atau klinik.
  3. Di dalam mana-mana lif awam atau tandas awam.
  4. Di dalam mana-mana tempat makan berhawa dingin atau kedai berhawa dingin.
  5. Di dalam mana-mana kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam.
  6. Di dalam bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta.
  7. Di dalam mana-mana lapangan terbang.
  8. Di dalam mana-mana premis kerajaan.
  9. Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.
  10. Di mana-mana kawasan di dalam sesuatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.
  11. Di mana-mana kawasan di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak.
  12. Di dalam mana-mana bas sekolah.
  13. Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di dalam mana-mana bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia Berhad.
  14. Di dalam mana-mana kompleks membeli-belah.
  15. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stesen minyak.
  16. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium.
  17. Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan.
  18. Di mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan.
  19. Di mana-mana kawasan di dalam suatu kafe internet atau,
  20. Di mana-mana kawasaan di dalam Pusat Latihan Khidmat Negara.

Penguatkuasaan Larangan Merokok Di Kedai Makan

 

Bermula 1 Januari 2020 yang lepas, mereka yang merokok di premis makanan akan dikenakan kompaun.

Mereka akan dikenakan kompaun:

  • RM250 untuk kesalahan pertama dan kedua
  • RM350 untuk kesalahan ketiga dan seterusnya

Tindakan penguatkuasaan undang-undang ini akan dikenakan  terhadap perokok-perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan.

Kegagalan membayar kompaun, akan menyebabkan pesalah dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Sekiranya anda masih mahu merokok di restoran atau warung makan, anda perlu bersedia untuk membelanjakan wang yang banyak untuk membayar kompaun yang tinggi.

Selain itu, pihak premis makanan juga perlu memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.

Kemudahan seperti bekas abu rokok (ashtray) tidak sepatutnya disediakan lagi oleh mereka di premis makanan. 

Kompaun juga boleh dikenakan terhadap pihak premis makanan sekiranya didapati bersalah:

  • RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua
  • RM350 bagi kesalahan ketiga dan seterusnya

Kesimpulannya, larangan merokok ini dikuatkuasakan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam.

Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu mematuhi peraturan ini agar kita selamat serta membantu orang ramai untuk berhenti merokok secara berkekalan. 

 

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments