fbpx

Perokok Pasif: Malang Tak Berbau Buat Orang Yang Tak Merokok

 

Perokok aktif merupakan golongan yang kurang diberikan perhatian apabila memperkatakan mengenai kesan merokok kepada seseorang. 

Untuk definisi, terdapat perokok aktif yang merujuk kepada mereka yang menghisap rokok manakala perokok pasif pula adalah kepada mereka yang menghidu asap rokok.

Asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif boleh membahayakan orang lain seperti keluarga, pasangan dan juga orang awam.

Namun, kesan buruk merokok adalah lebih menonjol kepada perokok pasif. Disebabkan itu, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai isu ini di dalam artikel ini.

Maksud Perokok Pasif

Ia lebih dikenali sebagai secondhand smoke dalam bahasa Inggeris dan merujuk kepada mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.

Asap yang perokok pasif hirup mungkin daripada puntung rokok atau asap rokok yang dihembus keluar daripada mulut perokok aktif.

Ini sering berlaku apabila perokok aktif merokok di tempat awam. Contohnya, di satu majlis atau di kedai makan, anda mungkin bergaul dengan orang yang merokok.

Anda mungkin tidak merasakan apa-apa perubahan tetapi menghirup asap rokok boleh menjejaskan kesihatan anda.

Terdapat kajian yang telah membuktikan kesan merokok kepada perokok pasif yang lebih teruk berbanding perokok tegar.

Hal ini kerana, bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok sangat berbahaya kepada sesiapa yang menghidunya.

Terdapat lebih 7000 bahan kimia. Berikut merupakan antara bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok:

  • Tar

Berupaya mengembangkan sel-sel kanser setelah menyerap masuk ke dalam paru-paru.

  • Nikotin

Boleh menyebabkan kanser seperti kanser paru-paru, kanser payudara dan banyak lagi.

  • Benzena & Formaldehid

Dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti leukemia dan buah pinggang.

 

Kesan Rokok Kepada Perokok Pasif 

perokok pasif

Apa yang lebih menyedihkan adalah perokok pasif adalah terdiri daripada kanak-kanak, ibu mengandung dan mereka yang sedang menghadapi masalah kesihatan.

Dalam bahagian ini, kami akan jelaskan dengan terperinci kesan asap rokok kepada ibu mengandung, kanak-kanak dan juga orang ramai.

Risiko Kepada Ibu Mengandung

Apabila seorang ibu mengandung menghidu asap rokok, ia akan membahayakan ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Kesan asap rokok kepada ibu:

  • Risiko keguguran  
  • Kelahiran Luar Rahim (Ectopic Pregnancy)
  • Tekanan darah tinggi (Pregnancy Induced Hypertension)

Kesan asap rokok kepada bayi di dalam kandungan:

  • Berat badan lahir rendah (Low Birth Weight)
  • Sekatan pertumbuhan intrauterine (IUGR)
  • Kecacatan Kelahiran 
  • Kelahiran pramatang 

Risiko Kepada Kanak-Kanak dan Bayi

risiko perokok pasif

Kanak-kanak dan bayi yang terdedah kepada asap rokok berisiko menghadapi komplikasi kesihatan yang sangat berbahaya.

Peparu kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko tidak dapat berfungsi dengan sempurna berbanding kanak-kanak yang tidak menghidu asap rokok sejak dari kecil. 

Ini boleh mengakibatkan mereka mendapat jangkitan paru-paru dengan lebih kerap. 

Sebahagian daripada kanak-kanak yang telah terdedah kepada bahaya perokok pasif ini juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit asma. 

Berikut merupakan risiko kesihatan yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang terdedah dengan asap rokok:

  •  Masalah jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI). 
  • Jangkitan kuman di telinga
  • Masalah pembelajaran dan kelewatan tumbesaran.

Bayi juga bakal menghadapi masalah kesihatan yang serius jika terdedah kepada asap rokok: 

Antaranya:

  • Asma 
  • Bronkitis
  • Jangkitan telinga
  • Pneumonia

Risiko Kepada Orang Ramai

Tahukah anda pada setiap tahun, Amerika Syarikat merekodkan lebih 3000 kes kematian perokok pasif?

Kebanyakan kes kematian ini berpunca daripada kanser paru-paru. 

Di Malaysia, kita boleh dapati masih lagi ramai perokok yang merokok di tempat awam seperti perhentian bas, stadium bola dan sebagainya.

Jika ini terus berterusan, rakyat Malaysia yang terdedah dengan asap rokok akan menghadapi masalah kesihatan yang berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian.

Berikut merupakan antara risiko yang mungkin dihadapi oleh perokok pasif:

  • Kanser paru-paru
  • Kanser payudara
  • Kanser pankreas
  • Kanser serviks
  • Kanser pundi kencing
  • Penyakit kardiovaskular
  • Penurunan denyutan jantung
  • Risiko terjadinya asma
  • Risiko terjadinya penyakit paru obstruktif kronik

Perlunya Kesedaran Mengenai Bahaya Perokok Pasif

Menghirup asap rokok mengganggu fungsi normal jantung, darah dan sistem vaskular dengan cara yang meningkatkan risiko terkena serangan jantung.

Selain itu, menghirup asap rokok juga boleh memberi kesan buruk kepada darah dan juga saluran darah.

Oleh itu, sangat penting untuk kita menyedari bahayanya merokok ini kepada orang ramai.

Baca: Panduan Berhenti Merokok 30 Hari

Walaupun tidak merokok, perokok pasif terus menjadi mangsa keadaan.

Tidak kira di rumah, tempat awam dan lain-lain, sukar untuk mengelak asap rokok apabila mereka terus dikelilingi oleh perokok-perokok aktif yang merokok.

Golongan wanita yang terdedah dengan asap rokok akibat tabiat pasangan yang merokok dan berisiko mendapat adenokarsinoma paru.

Ia merupakan sejenis kanser yang terbentuk daripada sel paru-paru yang tidak normal, membiak dan membentuk tumor.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, golongan kanak-kanak dan bayi juga terkesan dan ini akan mengakibatkan mereka sukar untuk membesar dengan sihat.

Dalam hal ini, perokok-perokok di luar sana perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka ini membahayakan kesihatan orang-orang di sekeliling.

Kesedaran ini harus dipupuk secepat mungkin sebelum ramai lagi menjadi mangsa asap rokok.

Kesimpulannya, perokok pasif akan terus menjadi mangsa sekiranya mereka yang merokok terus merokok berhampiran mereka.

Perokok harus sedar bahawa bahaya tabiat mereka bukan hanya bahaya kepada mereka sahaja malah juga orang di sekeliling mereka. 

Sekiranya perokok ada sifat pengasih dan menyayangi orang yang mereka cintai, hentikanlah tabiat buruk ini. Masanya belum terlambat lagi untuk berubah dari sekarang.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments