fbpx

Piramid Makanan Malaysia: Panduan Pemakanan atau Sekadar Piramid?

piramid makanan

Pernahkah anda mendengar mengenai piramid makanan? Sejak dari sekolah rendah lagi, kita sudah didedahkan dengan konsep pemakanan ini.

Kepentingan piramid makanan sering dikaitkan dengan pengambilan pemakanan sihat yang penting untuk tubuh badan. 

Ini mendorong seseorang untuk menjalani kehidupan dengan baik serta mengurangkan risiko mendapat penyakit berbahaya.

Dalam artikel kali ini, anda akan mengetahui lebih lanjut mengenai konsep pyramid makanan serta kombinasi kumpulan makanan yang diperlukan oleh kita.

 

Maksud Piramid Makanan

 

piramid makanan malaysia

 

Ia merupakan satu panduan yang boleh digunakan untuk mengetahui kombinasi makanan dan jumlah makanan seimbang yang patut diambil untuk keperluan tubuh badan manusia.

Untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi, tidak cukup dengan hanya mengambil satu-satu jenis makanan sahaja. Kita perlu mempelbagaikan sajian makanan dalam setiap juadah.

Sekiranya dirujuk pada gambar piramid makanan, ia memaparkan pengelasan beberapa jenis makanan mengikut aras tertentu.

Terdapat lima jenis kumpulan makanan yang diletakkan pada aras yang berbeza. 

Semakin menaik aras bentuk piramid, semakin berkurang kuantiti makanan yang perlu diambil. Perincian mengenai makanan di dalam setiap aras akan dijelaskan di bawah.

 

Aras Piramid Makanan dan Fungsinya

 

Terdapat 4 aras pyramid makanan yang perlu kita ketahui. Setiap aras ini bermula daripada bahagian bawah sekali dan menaik ke bahagian puncak.

Aras 1

makanan seimbang

Aras 1 mengandungi kumpulan makanan yang membekalkan tenaga iaitu karbohidrat. Sekiranya dilihat pada ilustrasi aras piramid makanan, ia merupakan aras yang paling bawah dan mempunyai bilangan kuantiti jenis makanan yang paling banyak berbanding aras-aras lain.

Selain membekalkan tenaga, karbohidrat juga merupakan sumber kepada vitamin, mineral dan serat.

Contoh makanan di dalam Aras 1 adalah:

  • nasi 
  • mee 
  • roti
  • bijirin
  • ubi

Menurut pakar pemakanan, kita digalakkan untuk mengambil karbohidrat dalam kuantiti yang besar dan kerap, sekurang-kurangnya empat hingga lapan sajian setiap hari.

Antara kebaikan makanan aras ini ialah membantu mengelakkan daripada masalah sembelit serta membantu merendahkan paras glukosa dalam darah.

Aras 2

Kumpulan makanan di dalam aras 2 adalah sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan-makanan ini kaya dengan serat, vitamin dan garam mineral.

Kita digalakkan untuk mengambil makanan ini dengan banyak setiap hari. Ia membantu menguatkan tubuh badan daripada serangan penyakit. 

Buahan-buahan dan sayur-sayuran adalah mudah untuk diperolehi. Namun, pilihlah yang segar untuk mendapatkan lebih banyak nutrisi dan kebaikan berbanding dijadikan jus.

Berikut adalah contoh sajian harian seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

  • Setengah cawan sayuran hijau yang dimasak
  • Satu cawan ulam mentah
  • 1 biji epal / pear / oren / mangga
  • Setengah biji jambu sederhana
  • 1 biji pisang berangan
  • 8 biji anggur 

“Setiap aras piramid makanan mempunyai kombinasi makanan tertentu. Semakin menaik aras piramid, semakin berkurang kuantiti makanan yang perlu diambil”

Aras 3

Aras 3 merupakan kumpulan makanan yang mengandungi protein. Sumber protein boleh dibahagikan kepada dua sumber iaitu daripada ikan, ayam, daging dan kacang dan satu lagi daripada susu. 

Makanan pada aras ini hendaklah dikurangkan sedikit berbanding makanan pada aras 1 dan aras 2 namun perlu diambil kerap. 

Protein diperlukan oleh badan untuk membina sel-sel tubuh serta untuk memperbaiki sel-sel yang tercedera. Selain protein, susu juga kaya dengan zat besi, vitamin A, vitamin B, kalsium dan vitamin B12.

Contoh sajian harian yang dicadangkan:

  • 1 ekor ikan kembong saiz sederhana
  • 2 ketul daging tanpa lemak
  • 1 ketul paha ayam 
  • 2 biji telur
  • 1 gelas susu segar
  • 1 keping keju
  • 1 cawan yogurt

Aras 4

Aras 4 merupakan aras terakhir dalam piramid makanan. Ia mewakili lemak, minyak, gula dan garam.

Disebabkan ianya terletak paling atas piramid, maka kuantiti pengambilannya perlu sedikit sahaja.

Ini kerana pengambilan yang banyak dan tak terkawal boleh menyebabkan risiko mendapat penyakit berbahaya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan lain-lain.

Tips untuk pengambilan makanan Aras 4:

  • Hadkan pembelian sekiranya berbelanja setiap bulan. Sebagai contoh, sekiranya selalu beli 2 kg gula, kali ini beli 1 kilo gula sahaja.
  • Kerap masak sendiri berbanding makan di luar. Bila masak sendiri, kita boleh kawal penggunaan gula dan garam di dalam masakan.
  • Tukar daripada gula putih kepada gula perang, garam biasa kepada garam bukit.

 

Kepentingan Piramid Makanan

 

aras piramid makanan

 

Dengan adanya piramid makanan, ia boleh dijadikan panduan untuk pemilihan makanan yang terbaik untuk orang perseorangan dan keluarga.

Memang tidak dapat dinafikan, pemakanan dapat mempengaruhi aspek kesihatan individu tersebut.

Oleh itu, pengambilan makanan seimbang perlu dititikberatkan dalam kehidupan agar kita dapat menikmati kehidupan yang sihat dan bahagia. 

Selain pemakanan, aspek-aspek kehidupan lain juga perlu dijaga. Kerap bersenam untuk memastikan tubuh badan sentiasa sihat. Selain itu, elakkan merokok kerana ianya bukan sahaja berbahaya kepada tubuh badan, malah memberikan impak buruk kepada persekitaran.

Sekiranya anda ingin mengetahui kaedah terkini untuk berhenti merokok, anda boleh mengetahuinya melalui pautan di bawah.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments