fbpx

Rokok: Semua Yang Anda Perlu Tahu (UPDATE 2021)

Kita semua tahu rokok membahayakan kesihatan. Namun, masih ramai perokok yang masih lagi terus mengamalkan tabiat merokok ini.

Ada yang mengatakan bahawa mereka merokok dengan alasan seperti menghilangkan tekanan dan bergaul dengan rakan-rakan.

Bagi kebanyakan perokok, merokok ini ibarat rutin harian yang penting. Tidak kiralah semasa menonton TV atau bercakap di telefon, mereka pasti akan menghisap rokok.

Dalam artikel ini, kami akan mengupas dengan terperinci semua yang anda perlu tahu tentang rokok.

Teruskan membaca untuk mengetahui fakta-fakta yang mungkin anda tidak pernah dengar sebelum ini.

Definisi Rokok

rokok

Rokok adalah tembakau yang dibaluti dengan kertas.

Apabila seseorang merokok, individu tersebut boleh menghembuskan asap yang dikeluarkan dari paru-paru melalui mulut dan hidung.

Untuk pengetahuan anda, ia mempunyai ukuran silinder kertas 70 hingga 120 mm dengan garis pusat sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dicincang.

Banyak rokok yang dihasilkan juga mempunyai penapis di satu hujung yang bertujuan untuk memerangkap beberapa bahan kimia beracun yang terdapat dalam asap rokok.

Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara supaya asapnya dapat disedut melalui mulut pada hujung yang lain.

Tabiat merokok mula menjadi aktiviti yang popular di kalangan lelaki pada awal tahun 1900-an.

Kemudian ia bertambah popular semasa Perang Dunia I dan Perang Dunia II.

Pada ketika itu, syarikat rokok memberikan askar rokok percuma dan memasarkannya kepada wanita juga. 

Menjelang tahun 1950, penggunaan rokok setiap perokok adalah sebanyak 2000 batang rokok tahun.

Namun bermula tahun 1950-an, kebimbangan mengenai risiko kesihatan merokok mula timbul. Pakar-pakar kesihatan mula mendapati kesan buruk merokok kepada perokok.

Disebabkan itu, setiap kotak mesti ada label peringatan seperti “Rokok boleh membahayakan kesihatan anda” dan sebagainya. 

Di Malaysia juga, kita boleh lihat kotak rokok yang dijual mempunyai label peringatan dengan gambar-gambar dan juga mesej-mesej.

Kandungan Rokok

kandungan rokok

Walaupun mempunyai seribu satu keburukan, ianya masih dihisap kerana ketagihan yang dialami oleh kebanyakan perokok.

Secara purata, rokok mengandungi campuran kompleks lebih daripada 7,000 bahan kimia.

Setakat ini, 250 bahan kimia beracun telah dikenal pasti dalam asap rokok, dan sekurang-kurangnya 69 karsinogen.

Antara bahan yang terdapat di dalamnya:

  • Arsenik yang dipakai untuk membuat racun tikus
  • Nikotin yang digunakan untuk membunuh serangga
  • Racun dari ekzos kereta
  • Tar untuk membuat jalan
  • Kadmium yang terkandung di dalam bateri
  • Bahan pelarut toluena
  • Ammonia yang digunakan untuk mencuci tandas
  • Naftalena dari ubat gegat
  • Bahan cat 

Jadi, anda mungkin tertanya-tanya, mengapa masih ramai lagi yang ketagih merokok?

Jawapannya ialah nikotin, yang merupakan salah satu daripada bahan yang terkandung dalam rokok. 

Dalam masa hanya 8 saat selepas perokok, nikotin akan sampai ke otak.

Ia akan merangsang:

  • Degupan jantung menjadi lebih laju, 
  • Bacaan tekanan darah akan meningkat,
  • Meningkatkan kepekaan terhadap persekitaran
  • Mengurangkan selera makan.

Kesan dan Bahaya Rokok

  • Masalah pernafasan & kanser paru-paru

Apabila pesakit didiagnos penyakit kanser paru-paru, peluang untuk sembuh adalah sangat nipis boleh menyebabkan kematian.

Asap rokok akan menghakis dan merosakkan lapisan saluran pernafasan dan paru-paru. 

Bahan yang terkandung di dalam rokok mempunyai banyak bahan karsinogenik.

Asap rokok akan menyebabkan tisu dan sel pada lapisan paru-paru untuk mengalami perubahan dari masa ke semasa. 

Pada masa yang sama, hal ini juga akan merangsang saluran pernafasan untuk menjadi lebih sempit.

Ini akan menyebabkan rembesan lendir dan cecair yang berlebihan pada paru-paru.

Akibatnya pesakit akan mengalami masalah seperti:

  • Batuk
  • Kesukaran bernafas
  • Semput
  • Kepenatan yang berpanjangan

  • Strok

Masalah strok dan jantung ini disebabkan oleh nikotin yang mengakibatkan saluran darah menjadi rosak dan sempit.

Strok merupakan sejenis penyakit yang mana saluran darah ke otak menjadi sempit.

Ini akan mengakibatkan otak kekurangan oksigen kerana darah yang sampai ke otak menjadi sedikit. 

Strok juga boleh mengakibatkan kelumpuhan pada separuh, seluruh atau sesetengah anggota badan bergantung kepada kawasan otak yang terjejas.

Selain itu, saluran darah ke jantung juga boleh terjejas dan menjadi sempit dan hal ini boleh mengakibatkan kerosakan kepada sel jantung kerana kekurangan bekalan oksigen. 

Sekiranya ini berterusan, bekalan oksigen ke jantung terus berkurangan, sel di jantung akan mati dan mengakibatkan kegagalan jantung. 

  • Kerap Stres

Betul ke merokok boleh menghilangkan stres?

Tahukah anda, merokok boleh menyebabkan seseorang lebih tertekan?

Hal ini kerana kebergantungan dan ketagihan terhadap rokok sukar untuk dipisahkan bagi perokok-perokok.

Otak seorang perokok akan sering memikirkan tentang tabiat tersebut jika sedang menghadapi sebarang bentuk tekanan

  • Masalah sistem reproduksi

Perokok lelaki pula, anda mungkin terdedah kepada risiko mati pucuk. 

Kajian mendapati radikal bebas dan karsinogenik dari rokok boleh menjejaskan testis dan sistem reproduksi secara keseluruhannya.

Bukan itu sahaja, kiraan sperma akan berkurangan dan hal ini akan mengurangkan kesuburan seseorang lelaki.

Ia akan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

  • Kesihatan anak-anak dan ahli keluarga terjejas

Asap rokok yang dihembuskan oleh perokok akan menyebabkan orang di sekeliling mereka terjejas.

Ahli keluarga, anak-anak kecil dan rakan-rakan secara automatik menjadi perokok pasif (second hand smoker).

Kerana asap rokok, keluarga dan anak-anak orang yang merokok mempunyai risiko kanser dan penyakit jantung. 

Asap yang dilepaskan memberikan kesan kesihatan yang lebih mudarat kepada penghidu terutamanya kepada si anak kecil.

Ini akan menyebabkan, anak-anak kecil mudah terdedah kepada penyakit seperti asma dan batuk jika bersama dengan perokok.

Selain itu, mereka juga berisiko mengalami:

  • Jangkitan telinga
  • Radang paru-paru
  • BronkitiS
  • Mempunyai risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).

Cara Berhenti Merokok

  • Ketahui Sebab Anda

Kenapa anda nak berhenti merokok? 

Untuk mendapat motivasi, anda memerlukan alasan peribadi yang kuat untuk berhenti. 

Ini mungkin untuk melindungi keluarga anda dari asap rokok atau mengurangkan risiko anda untuk mendapat kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain.

  • Pilih Tarikh Berhenti Merokok

Lihat kalendar anda dan pilih satu tarikh yang anda rasa bersesuaian.

Anda perlu jujur pada diri sendiri dalam hal ini.  

  • Pertimbangkan Terapi Penggantian Nikotin

Apabila anda berhenti merokok, ketiadaan nikotin boleh menyebabkan anda sakit kepala, mempengaruhi mood anda, atau mengurangkan tenaga anda.

Terapi penggantian nikotin dapat mengekang desakan ini. 

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan gum nikotin meningkatkan peluang anda untuk berjaya untuk  berhenti merokok.

  • Dapatkan Sokongan Keluarga Dan Rakan-rakan

Beritahu rakan, keluarga, dan orang yang anda boleh percaya yang anda ingin berhenti.

Mereka dapat mendorong anda untuk kekal berdisiplin dan mencapai matlamat anda untuk berhenti merokok.

  • Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran

Ini merupakan satu petua berhenti merokok yang anda boleh amalkan. 

Anda boleh cuba makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian, dan protein tanpa lemak. Ia baik untuk seluruh badan anda.

Kesimpulannya, rokok ini mempunyai jauh lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Banyak maklumat baru mengenai rokok yang anda telah dapat melalui artikel.

Anda juga sudah tahu bahan-bahan kimia yang sangat berbahaya dalam sebatang rokok.

Diharapkan tabiat merokok ini akan dapat diatasi oleh anda (sekiranya anda merokok) atau ahli keluarga atau rakan-rakan anda. 

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments